MOTHERNATURE (ALAMSEMULAJADI)

Wednesday, 21 August 2013

cara memelihara alam semulajadi

NGO perlu pelihara alam semula jadi

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat di negara ini digesa memainkan peranan lebih penting dalam menangani isu-isu alam sekitar yang dihadapi dunia ketika ini.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor berkata, usaha tersebut bukan sekadar menanam pokok untuk menghijaukan persekitaran.
Katanya, sudah sampai masanya NGO berusaha mencari langkah lain yang boleh mengurangkan masalah alam sekitar.
''Hasrat saya adalah menjadikan Malaysia sebagai 'pameran' di dunia terhadap usaha-usaha memelihara dan menjaga alam semula jadi.
''Oleh itu, saya menyeru supaya janganlah menganggap isu-isu ini perlu ditangani kerajaan sahaja, ia merupakan masalah bersama,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program 'Dana Veritas Untuk Kehebatan 100 Pokok' di Rumah Pengasih, Bukit Tunku di sini hari ini.
Hadir sama ialah Yang Dipertua, Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi Mohd.; Ketua Pegawai Eksekutif Veritas Design Group, David Mizan Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), Adli Mohamad.
Sempena program itu, lebih 100 pokok daripada pelbagai jenis ditanam di sekitar kawasan Rumah Pengasih oleh kira-kira 300 kakitangan dan sukarelawan Veritas, YAWA dan warga Rumah Pengasih.
Veritas dengan kerjasama YAWA memilih Rumah Pengasih sebagai projek angkat penanaman pokok untuk memberi pendidikan dan kesedaran mencintai alam sekitar kepada peserta program dan warga Rumah Pengasih.
Sementara itu, Mohd. Yunus berkata, acara menanam pokok itu adalah seiring dengan inspirasi falsafah yang diamalkan dalam 'terapi kekeluargaan' di Rumah Pengasih.
''Ia bermaksud 'menunjang akar dan membesar' dengan makna tersirat yang dapat membina asas untuk warga Rumah Pengasih berkembang maju,'' katanya.
HABIS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm#ixzz2cg58kKJa
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment